Syukur dengan anugerah Allah, kita masih diberi kurnia untuk menghirup udaranya. Semenjak alam ini dijadikan oleh Allah, hanya terbentang dua jalan, jalan syurga mahupun neraka. Dari dalam syurga, Allah tumbuhkan pohon Tuba, pohon tauhid yang subur teguh, dahan-dahannya memayungi menjalar terbentang semenjak Adam as dijadikan sehingga hari ini. Di sana ada suatu pohon lagi, pohon kekufuran zaqqum dasar akarnya dari kerak neraka , juga tumbuh menjalari menaungi manusia yang memilih untuk dinaunginya semenjak zaman Nabi Adam juga.
Dua jalan ini akan terus terbentang di hadapan kita sehingga hari kiamat. Manakala dua pohon ini akan terus berselirat dahan dan rantingnya menaungi insan yang memilih untuk berteduh di bawahnya. Bagi manusia yang memiliki mata hati, yang insaf dan mencari Allah sudah tentu memilih untuk berada di jalan Allah. Meskipun dia perlu bersusah tidak boleh bebas mengikut hawa nafsunya, tetapi hatinya tenang lisannya basah dengan zikrullah. Keyakinannya mantap untuk terus menelusuri jalan para ulama', atqiya' solihin dan mereka yang mulia di sisi Allah. Setiap hari dia berusaha menjadi hamba yang lebih baik.
Manusia itu juga memilih untuk sentiasa dinaungi oleh pohon tauhid Tuba yang tumbuh kukuh akarnya mencengkam dari syurga Allah. Telah ramai manusia mukmin, soleh dinaungi dahan, ranting dan daun-daunnya yang subur. Semenjak Adam as, Habil terpilih dinaungi pohon Tuba sehingga zaman berganti zaman manusia tetap ada dua, yang dinaungi pohon Tuba manakala yang kufur, tertipu dengan nafsu, bernaunglah mereka di bawah pohon zaqqum yang mengerikan sehingga ke akhirat nanti. Mudah-mudahan mereka tersedar dan segera mencari teduhan di bawah dahan-dahan pohon Tuba.
Gerun sekali rasanya, membayangkan dahan-dahan pohon Tuba dan Zaqqum yang berselirat menanungi manusia keseluruhannya. Albazrah ingin sekali tetap di atas jalan yang benar mengikuti jejak para anbiya, ulama', awliya, dan solehin yang telah pergi mendahului dan wangi perjalanan mereka.
Di sini Albazrah berpeluang mengikuti siaran di Channel Iqra' dan kadang-kadang Hidayah, dapat melihat dan mendengar mutiara ilmu dan hikmah para 'ulama' Ahli Sunnah yang hebat dan tinggi taqwanya. Albazrah tidak ada tv, cuma jika ke kompleks Petronas dapatlah albazrah tumpang sekaki.

Sheikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti menyampaikan kuliah Sirah dan adakalanya Syarah Kitab Hikam Ibn 'Ataillah. Ya Allah,
best sangat, para pendengar yang ramai, kata-kata yang tenang melembutkan hati, membawa para pendengar hampir kepada Allah. Khusyuk sekali. Sheikh Muhammad Said Ramadhan memang telah lama dikenali para pelajar melalui kitab Sirah beliau. Alhamdulillah, sebuah kitab yang telah lama albazrah idamkan semenjak di UIA, kini telah albazrah perolehi "Syakhsiyat Istawqafatni". Beliau juga merupakan orang pertama menulis tentang Bediuzzaman Said Nursi di dalam Bahasa Arab

Ini pulah Sheikh Abdullah Fadaaq, berketurunan Rasulullah saw. Beberapa siaran menampilkan Sheikh Abdullah Fadaaq ini, tetapi kalau siaran yang melibatkan Feqh tertonjol sekali kehebatan beliau. Dalam soal jawab ketika beberapa siaran tangkas dan tepat sekali jawaban beliau ketika pelbagai soalan diajukan. Albazrah kagum betul lah dengan ilmu beliau. Ketika albazrah melihat kembali rakaman pengkebumian Almarhum Abuya Syed Muhammad Alawi Al-Maliki, baru terperasan, Sheikh Abdullah Fadaaq inilah orang yang di hadapan sekali membawa jenazah.

Ini pula Syeikh Ratib al-Nablusi dari Syria. Albazrah pernah mendengar nama beliau. Tetapi di sinilah albazrah berkesempatan mengikuti kuliah Tafsir beliau. Sememangnya orang yang hampir dengan Allah sentiasa membawa orang lain mengingati Allah. Beberapa kali albazrah mendengar kuliah Tafsir beliau, kisah-kisah para Nabi, beliau juga kelakar ketika mensyarahkan beberapa ayat dan mukjizat tentang Nabi Musa as ketika berhadapan dengan Firaun.

Ini pula Sheikh Ibrahim al-Kittani. Dahulu pernah datang ke UIA. Sheikh Muhaddith. Suaranya tegas. Beliau juga begitu menguasai ilmu hadith dan usul. Setiap tohmahan ditangkis dengan mudah , penerangannya khusyuk, membuatkan hati albazrah rasa penuh dengan cinta Rasulullah saw. Albazrah nampak alim ulama' kita ini benar-benar menguasai ilmu dan manhaj, mereka tidaklah bercakap sembarangan berpandukan nafsu. Mereka ini terpandu di jalan yang betul mengikut jejak langkah para ulama' warasatul anbiya'. Mudah-mudahan albazrah dapat mengambil sebanyak-banyaknya ilmu dan fadhilat daripada mereka.

Ini pula sudah tidak perlu diceritakan lagi, Almarhum Abuya Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, sengaja albazrah letak sebab beberapa hari ini albazrah mengulang tengok video beliau tentang Mafahim Yajib an tusohhah. Dulu semasa di UIA ketika baru dapat DVD ini, albazrah sudah tengok, tetapi banyak kalimah yang albazrah terlepas dan tidak faham. Sekarang alhamdulillah, semakin faham. Syukur sangat, rasa sejuk hati melihat wajah para ulama'. Rasa mengalir titisan air embun yang bening dalam semua pembuluh darah. Kalam mereka ikhlas, tenang memberi harapan dan mengajak kepada Allah dan mengikuti RasulNya.
Read more...